Pemegang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling berkata, penganjuran pameran itu bertujuan memahami sejarah perjuangan orang Melayu dalam menentang serangan tentera kuasa asing.

Menurutnya, generasi baharu dan lama terutama orang Melayu perlu memahami sejarah perjuangan menegakkan kuasa raja-raja Melayu dan bangsa itu sendiri.

“Peperangan yang berlaku sejak zaman berzaman dari kesultanan Melaka hingga sebelum merdeka adalah bukti orang Melayu sanggup kehilangan nyawa demi menjaga kedaulatan tanah air mereka.

“Pameran ini adalah pameran lukisan yang menceritakan rentetan perjuangan bangsa Melayu dari dahulu hingga sekarang dalam melanjutkan kedaulatan Melayu yang dilambangkan dengan kewujudan raja-raja Melayu kerana mereka adalah ketua negara dan orang teratas dalam negara di alam Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas mengenai kelangsungan perhimpunan orang Melayu membantah cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Zainal memberitahu, orang Melayu terkenal dengan budi bahasa yang tinggi dan sentiasa bertolak ansur hingga sanggup berkorban mempertahankan hak orang lain.

“Bagaimanapun, pada satu tahap apabila terlampau terdesak oleh orang yang tidak memahami budi bahasa dan kelembutan orang Melayu, pada tahap itu orang Melayu akan mengamuk.

“Dia akan mempertahankan keadilannya, haknya dan kemudian menuntut keadilan ke atas dirinya kerana mereka sendiri telah membenarkan orang masuk ke dalam negara dan wilayahnya tanpa pembunuhan, tanpa penindasan tetapi apabila orang tidak mengapresiasi maka dia harus bangkit,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE