Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sesebuah restoran yang memaparkan papan tanda no pork dan no alcohol tidak semestinya menyediakan hidangan halal lagi baik atau ‘halalan toyyiban’.

Hal demikian kerana, kata beliau, konsep halal dalam Islam adalah hidangan mesti disediakan dengan cara betul termasuk dari segi penyembelihan haiwan dan perlu suci.

“Bagi memastikan sesuatu hidangan itu bersih dan suci, maka persijilan halal daripada Jakim itu amat penting. Menjadi tanggungjawab kepada seluruh umat Islam untuk memahami perkara ini.

“Kita tidak boleh memaksa semua restoran untuk mendapatkan persijilan halal tetapi tanggungjawab umat Islam untuk mencari sendiri dan memastikan bahawa makanan yang mereka ambil itu dikate­gorikan sebagai ‘halalan toyyiban’,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita di Pantai Cherok Paloh di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan diminta mengulas isu kebanyakan restoran Jepun dan Korea di negara ini yang diragui status halalnya seperti disiarkan dalam laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini.

Laporan eksklusif itu mendedahkan masih ramai rakyat yang tidak menyedari kebanyakan restoran asing khususnya menawarkan menu Jepun dan Korea yang kini menjadi kegilaan ramai termasuk orang Melayu tidak memiliki status halal.

Menurut Fuziah, urusan untuk mendapatkan sijil perakuan halal daripada Jakim adalah mudah selagi menepati syarat ditetapkan yang mana ia boleh dilakukan secara dalam talian atau memohon dengan jabatan agama Islam negeri sebagai pelaksana di peringkat negeri.

“Ramai juga bukan Islam yang memohon pensijilan halal ini kerana mereka memahami keperluan pasaran. Asalkan mereka menepati konsep ‘halalan toyyiban’, insya-Allah tiada masalah dan Jakim memberi kerjasama,” katanya.