Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Profesor Eme­ritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid (gambar) menjelaskan, kegagalan memahami wasiat tersebut menyebabkan masyarakat kini berani mempertikai fungsi dan peranan institusi beraja serta Perlembagaan Persekutuan.

“Punca masyarakat hari ini sering bertelagah adalah kerana tidak memahami pasak (institusi beraja) yang merupakan asas utama negara yang menjadi rujukan dan harapan rakyat dalam pelbagai aspek dan isu.

“Hal ini kerana institusi raja merupakan pasak menunjangi kedaulatan, keutuhan, kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mahmood Zuhdi berkata, Konven­syen Memperkukuh Pasak Negara yang akan berlangsung di Hotel Marriott, Putrajaya selama dua hari bermula esok anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah-MDN disifatkan tepat pada masanya untuk menerangkan kepada masyarakat umum mengenai konsep institusi beraja.

“Program ini menampilkan barisan tokoh rujukan dan ahli akademik yang akan menerangkan kepada umum mengenai peranan raja-raja.

“Jika mahu menyatupadukan rakyat Malaysia, kita mesti memperkukuh pasaknya terlebih dahulu, pasak kita adalah Majlis Raja-Raja,” katanya.