Program tersebut bagi mendidik masyarakat negara ini supaya mengitar semula pakaian dan mengurangkan pembuangan sisa pepejal isi rumah bagi membantu mempelbagaikan sumber bahan api untuk penjanaan tenaga.

Pengarah Jabatan Perancangan Stratergik dan Komunikasi ST, Kamarul Ariffin Ibrahim berkata, pihaknya memulakan inisiatif untuk menekankan kepentingan tenaga boleh baharu dengan tiga segmen iaitu kitar semula, alam sekitar dan masyarakat setempat.

"'Fabric RE-cycling' tersebut memberi fokus kepada aspek kelestarian tenaga, pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan masyarakat.

"ST juga bekerjasama dengan Kloth Malaysia Sdn. Bhd., sebagai badan yang mempelopori inisiatif kitar semula fabrik di negara ini," katanya dalam Majlis Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat 'Fabric Re-Cycling' di sini hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya Aswara, Mejar (PA) Teknologis, Zulkifli Ab. Rashid dan wakil Kloth Malaysia Sdn. Bhd., Tengku Muna Tengku Abdul Rahman.

Buat julung kalinya ST memilih Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai institusi pengajian tinggi pertama untuk bekerjasama dalam program itu.

Setakat ini sebanyak lima tong kitar semula diletakkan di beberapa lokasi antaranya ibu pejabat ST, Aswara dan institusi pengajian tinggi lain. - UTUSAN ONLINE