Pembabitan negara ini ialah melalui Petronas selaku penaja utama perlumbaan di Malaysia selain pasukan lumba Mercedes AMG F1 yang mencatat kejuaraan pada hampir setiap perlumbaan.

Petronas memperoleh pendedahan di seluruh dunia terhadap aktiviti penerokaan di peringkat huluan dan hiliran dalam sektor minyak dan gas melalui sukan permotoran F1 ini dalam masa yang singkat, berbanding syarikat lain yang jauh lebih lama berkecimpung dalam bidang yang sama.

Bagi yang berkesempatan me­nyaksikan perlumbaan F1 sepanjang diadakan di SIC, ia adalah satu pengalaman menakjubkan, menyaksikan kehebatan jurutera-jurutera terbaik dalam bidang sukan permotoran menyediakan kereta-kereta lumba dengan teknologi tertinggi.

Malah persembahan finale F1 di SIC hujung minggu ini tidak boleh dianggap suatu kegagalan kerana di sebalik tabir penganjuran perlumbaan yang berprestij ini, di antara yang tersurat dan tersirat, ramai anak Malaysia telah meraih manfaat daripada pengelolaannya.

Jurutera-jurutera Malaysia turut bekerja dengan pasukan F1 yang mengambil bahagian dalam segenap bidang baik di dalam atau di luar negara. Malah Petronas pernah menghasilkan enjin melalui pelaburannya dengan pasukan F1 Sauber.

Bagi peminat tegar F1, tentunya hujung minggu ini akan menjadi hujung minggu yang beremosi dengan sukan permotoran kegemaran mereka yang hanya dirayakan setahun sekali. Sebagaimana ungkapan yang kita biasa dengar, Good times never last forever, begitulah juga sukan permotoran F1 di Malaysia tetapi bagi peminat tegar, mereka boleh ke seberang tambak di selatan tanah air untuk menonton deruman kereta yang membi­ngitkan telinga ini.

Umumnya, kereta-kereta F1 setiap kali beraksi dalam perlumbaan tentu sahaja membuat peminat kereta lumba ini berasa kagum. Bunyinya yang ‘berde­sing’ membingitkan telinga dan kelajuannya yang menakjubkan, membuat kepala menoleh dari kanan ke kiri atau sebaliknya, dalam sekelip mata, pastinya menjadikan pengalaman menonton perlumbaan ini secara live sesuatu yang sukar dilupakan.

Di sebalik kehebatan kereta-kereta lumba F1 yang bergerak umpama ‘halilintar’ di litar, tidak ramai yang mengetahui, kende­raan terbabit sebenarnya dijana oleh enjin 1.6 liter v6 turbo. Ya betul 1.6 liter v6 turbo.

Enjin 1.6 liter turbo ini menjana sehingga 950 hingga 1,000 bhp (brake horsepower) pada 15,000 rpm (maksimum) dan daya kilas yang tinggi (Torque).Sebagai perbandingan, enjin petrol biasa atau konvensional (naturally aspirated - NA) pada kereta-kereta yang berada di atas jalan raya kita hanyalah sekitar 120 bhp sahaja. Bayangkan perbezaan yang ketara dan kerja kuat jurutera permotoran menyediakan enjin-enjin kereta lumba F1 yang berteknologi tinggi ini.

Oleh itu, jika anda seorang pemilik kenderaan dengan enjin yang berkapasiti 1.6 liter, jangan pula mengubah suai enjin anda supaya mempunyai keupayaan setanding dengan kereta-kereta F1. Apa yang mahu ceritakan ialah kini telah wujud teknologi kejuruteraan enjin yang menghasilkan kuasa pacuan yang besar melalui enjin dengan yang kecil. Pembaca boleh mengetahui lebih lanjut bagaimana enjin sekecil ini boleh menjana kuasa yang sangat besar dengan melakukan carian di internet. Ia adalah satu daripada beberapa syarat dan peraturan yang diwajibkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sejak 2014 ke atas semua pasukan yang menyertai perlumbaan F1. (Rujuk kepada laman sesawang FIA)

Pendek kata, semua kereta yang menyertai perlumbaan ini sama sahaja keupayaan enjinnya. Sebelum 2014, kereta-kereta F1 menggunakan enjin 2.4 liter tanpa turbo sejak 2006, juga sebagai peraturan yang ditetapkan oleh FIA.

Merujuk kepada laman web pasukan Mercedes AMG F1, dan laman web pasukan Ferrari F1 dengan turut memaparkan data teknikal yang hampir sama. Me­nurut laporan, hanya dua pasukan ini sahaja yang mengeluarkan enjin-enjin F1 baharu pada setiap musim perlumbaan manakala pasukan lain akan mengubahsuai enjin musim lalu keluaran Mercedes dan Ferrari sebagai jentera utama mereka.

Ini kerana kos mengeluarkan sesebuah enjin baharu tidak ter­tanggung oleh pasukan yang mempunyai bajet yang kecil. Bagaimanapun, jangan gusar, tek­nologi enjin yang kecil tetapi melahirkan kuasa yang besar ini kini dikomersialkan untuk kenderaan yang dipandu di jalan-jalan raya dengan memanfaatkan teknologi kereta lumba.

Mercedes Benz umpamanya hanya menggunakan enjin 1.8 liter twin turbo pada kenderaan C-Class dan E-Class yang menjana 184 bhp. Model CLA, 1.6 liter pula berkeupayaan menjana 156 bhp. BMW dan lain-lain kereta buatan Jerman, turut memanfaatkan teknologi ini dalam enjin keluaran mereka.

Apapun, inilah teknologi F1 yang walaupun tidak akan lagi dipertandingkan di Malaysia, teknologinya akan terus dimanfaatkan sama ada secara langsung atau tidak. Dalam menongkah arus pemodenan, demi menjayakan Transformasi Nasional 50 (TN50) anak-anak muda Malaysia tidak seharusnya menjauhkan diri daripada teknologi yang berkembang pesat ini untuk manfaat negara yang juga negara pengeluar kenderaan.

Walaupun F1 tidak lagi di­per­tandingkan di Malaysia, anak-anak bangsa perlu dihantar bertugas dengan pasukan kereta lumba ini untuk menimba pengalaman dan pengetahuan bidang kejuru­teraan yang amat mencabar ini. Segala-galanya tidak berakhir apabila F1 tamat di Malaysia. Selamat tinggal F1.