Pameran yang boleh diikuti dalam masa sejam dibuat dalam bentuk tiga dimensi dengan pe­ngunjung dapat merasai pelbagai pengalaman menakjubkan tentang kemudahan prasarana yang ada dan sedang dibangunkan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau yakin pameran bertaraf antarabangsa itu mampu menarik lebih daripada 500,000 pengunjung dalam tempoh satu bulan.

“Idea pameran ini datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau mahu sebuah pameran dalam format digital agar sesuai dengan kea­daan masa kini.

“Terdapat lima kubah khas dibina dalam pameran ini dan pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai negara hanya menerusi sentuhan, mendengar dan mencuba pelba­gai simulasi yang disediakan,” ka­tanya dalam sidang akhbar selepas majlis pratonton Expo Negaraku 2017.

Terdahulu, Abdul Rahman mem­bawa pengamal media me­lawat Ex­po Negaraku 2017 yang dibuka secara percuma.

Antara tarikan ekspo itu katanya, pengunjung berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri melalui panggilan telefon yang akan dibuat secara rawak.

“Salah satu slot menarik ialah telekomunikasi yang mana tele­fon antik di dalam sebuah kubah akan berdering dan pengunjung bertuah yang menjawab panggilan tersebut berpeluang berinte­raksi dengan Perdana Menteri dan kepemimpinan tinggi negara.