Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, pemeriksaan perlu dibuat segera bagi mendapat keputusan sama ada rumah-rumah yang penduduknya sebelum ini mendakwa mengalami kerosakan termasuk retak akibat pembinaan projek selamat diduduki atau tidak.

Beliau turun padang untuk melihat sendiri rumah salah seorang penduduk, Mohd. Ridzuan Abidin, 40, yang mendakwa rumah pusaka didudukinya sejak 36 tahun lalu mengalami kerosakan. Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah terlibat dalam pembinaan projek itu.

"Hasil lawatan hari ini, saya mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk segera memeriksa rumah penduduk ini bagi memastikan ia selamat atau tidak didiami.

"Dalam tinjauan saya, memang terdapat beberapa kesan kerosakan dan retak malah pemaju meletakkan tiang sokongan yang sudah berkarat, jadi kita bimbang struktur rumah ini tidak selamat," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah tersebut, di sini petang ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keluhan penduduk yang mendakwa kediaman mereka mengalami kerosakan berikutan pembinaan projek persimpangan bertingkat berhampiran rumahnya tiga tahun lalu.

Projek naik taraf jalan menghubungkan Ayer Keroh ke bandar Melaka itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi sebuah syarikat pemaju dan pembinaan tersebut menurut Mohd. Sofi dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2019.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu pertemuan bagi membincangkan mengenai permasalahan itu akan diadakan di pejabatnya Khamis ini membabitkan penduduk terlibat, JKR dan syarikat pemaju.

"Menerusi pertemuan itu diharapkan kita akan dapat mencari satu langkah penyelesaian yang bersifat `situasi menang-menang' di mana kita mahu penduduk, pemaju dan JKR berpuas hati.

"Perbincangan akan melibatkan sama ada perlu atau tidak jumlah pampasan yang ditawarkan sebelum ini dinaikkan, atau perlu atau tidak penduduk dipindahkan, semua ini bergantung pada pertemuan nanti," jelasnya. - UTUSAN ONLINE