Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, sehingga 31 Disember lalu, seramai 156,580 individu terdiri daripada usahawan mikro dan pelatih Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) telah menyertai eUsahawan.

Program itu kata beliau, disifatkan amat berjaya apabila kesemua peserta mencatat peningkatan pendapatan perniagaan masing-masing sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada pendapatan asal.

“Sebanyak 70 peratus peserta ini adalah golongan belia dan 70 peratus daripada mereka juga merupakan golongan wanita.

“Daripada lebih 150,000 peserta ini, kira-kira 40 peratus atau seramai 44,466 peserta melaporkan hasil jualan mereka kepada MDEC,” katanya ketika ditemui dalam Program ‘Temu Mato Usahawan’ MDEC di Pondok Moden, di sini hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Mustapa berkata, eUsahawan yang bermula di Jeli kini menjadi agenda nasional berikutan mendapat sambutan menggalakkan rakyat kerana terbukti berkesan meningkatkan pendapatan peserta secara drastik.

Katanya, paling penting, program itu memberi manfaat besar kepada pertumbuhan setempat apabila usahawan yang berjaya memainkan peranan mewujudkan peluang perniagaan baharu di kampung halaman sekali gus mengurangkan penghijrahan golongan belia ke luar negeri.

“Inilah yang Barisan Nasional (BN) buat, kita bukan bercakap kosong sebagaimana pihak lain tetapi hasilnya tidak ada,” katanya. - UTUSAN ONLINE