Presiden Persatuan Rohingya di Malaysia, Faridullah Dudumiya berkata, walau bagaimanapun me­reka menghormati pendirian KP1M dan Mapim untuk mendapat­kan kebenaran kerajaan Myanmar terlebih dahulu bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada etnik Rohingya sebagai menghormati undang-undang negara berkenaan.

“Lebih baik jika misi ini menghantar bekalan makanan dan kelengkapan lain kepada etnik Rohingya melalui Bangladesh kera­na banyak yang menjadi pelarian di sana setelah kehilangan tempat tinggal di Myanmar.

“Semakin lama misi ini ditangguhkan, kehidupan etnik Rohingya menjadi bertambah sukar kerana kami khuatir kerajaan Myan­­mar akan bertindak balas ter­hadap masyarakat Islam Ro­hin­gya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim me­­ngu­mumkan misi ban­tuan Food Flotilla for Myan­mar yang sepatut­nya berlepas Selasa ini ditangguh sehingga 31 Januari.

Penangguhan itu bertujuan memberi masa kepada kerajaan Myanmar meluluskan permohonan dan memahami tujuan misi tersebut ke negara ber­kenaan.

Menurut Faridullah, pi­haknya juga khuatir jika bantuan misi ke­manusiaan Food Flotilla for Myanmar itu disalurkan melalui kerajaan Myanmar, bantuan tersebut mungkin tidak akan sampai kepada etnik Rohingya.

“Ramai etnik Rohingya di Myan­mar tahu mengenai misi ini dan mereka menantikan bantuan tersebut kerana hidup dalam keadaan terdesak kerana ditindas.

“Kami berharap agar misi ini diteruskan dan bantuan akan sampai terus kepada etnik Rohingya di sana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MEHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani pula berpendapat, misi tersebut wajar ditangguh sehingga mendapat kelulusan daripada kerajaan Myanmar memandangkan soal keselamatan para sukarelawan juga penting sepanjang misi tersebut dilaksanakan.

“Kerajaan Myanmar tidak akan teragak-agak untuk bertindak ba­las terhadap kapal yang membawa bantuan ini jika misi ini tidak mendapat kelulusan mereka.

“Misi ini perlu mendapat kebenaran kerajaan Myanmar bagi mengelakkan sebarang insiden buruk berlaku,” jelasnya.