Kesemua PATI berkenaan yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 52 tahun merupakan warga Filipina dan Indonesia serta ditahan atas kesalahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi tersebut yang bermula pada pukul 11.30 malam dan berakhir 2.00 pagi turut disertai agensi penguat kuasa lain seperti polis, tentera, imigresen dan pihak berkuasa tempatan.

“Dalam operasi itu, sebanyak 44 pekerja telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut 30 PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

“Kesemua 30 PATI yang ditahan terdiri daripada 26 warganegara Filipina dan empat rakyat Indonesia yang berumur dalam lingkungan tiga hingga 52 tahun,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963.

Hazani berkata, semua tahanan telah diserahkan ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu Esscom akan sentiasa mengambil langkah proaktif terutama memperketatkan kawalan keselamatan di perairan negara terutama di kawasan sempadan dengan negara jiran.

Katanya, langkah itu termasuk mengadakan operasi-operasi khas secara berterusan seperti Operasi Gasak Laut (OGL) dan operasi bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan. - UTUSAN ONLINE