Erra Fazira
Erra Fazira

Menurut pengurus peribadinya, Pojie Samad, laporan yang mendakwa Erra dan Shahir bernikah secara rahsia di sebuah lokasi tertutup baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

Kata Pojie, melalui kenyata­an yang disampaikan oleh Erra padanya, artis berkenaan berkata, dia yakin perkahwinan adalah sesuatu yang baik dan tidak seharusnya perkara seperti itu disorokkan.

“Perkahwinan dan perceraian adalah suatu perkara yang amat penting untuk dia (Erra) kongsikan. Bagi Erra perkara seperti ini tidak seharusnya disorokkan memandangkan boleh mendatangkan fitnah terhadap dirinya.

“Erra nafikan yang dia sudah berkahwin. Sebenarnya ini (gosip perkahwinan) bukan kali pertama dihadapinya,” kata Pojie kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Tambah Pojie lagi, dalam soal perkahwinan juga, Erra tidak perlu malu untuk bercakap benar memandangkan spekulasi yang tercetus kali ini bukannya melibatkan artis jelita itu de­ngan lelaki yang bergelar suami orang.

“Erra ada keluarga dan pasti keluarganya akan meraikan sesuatu (berita) yang gembira. Erra bukan mahu berkahwin dengan suami orang,” tambah Pojie lagi.

Erra terkenal dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu dan dan Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 28, mula terbuka bercakap mengenai hubungan rapat mereka sejak tahun lalu.

Berikutan pengakuan berkenaan, tersebar khabar angin yang mendakwa Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 43, bakal menamatkan zaman jandanya dengan juara Akademi Fantasia ke lapan (AF8) itu tahun ini.

Usaha Utusan Malaysia untuk bercakap sendiri dengan Erra bagaima­napun gagal kerana artis popular itu ti­-
dak menjawab telefon bimbitnya selepas dihubungi beberapa kali.

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003. Bagaimanapun perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga 2006 sebelum dia berkahwin kali kedua dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dari 2007 sehingga 2014.

Hasil perkahwinan dengan Engku Emran, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berumur tujuh tahun.