Perkara tersebut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Burgess, Jonathan Beckett ketika ditemu ramah majalah kapal layar mewah, Barche, semalam.

Burgess adalah firma broker antarabangsa yang menguruskan penjualan kapal layar mewah tersebut.

Menurut Beckett, harga panduan bagi bidaan kapal layar yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ditetapkan oleh sebuah firma pakar runding kapal layar, Winterbothams sebanyak RM533 juta (AS$130 juta).

“Kami fikir ia harga panduan yang berpatutan melihat kepada kualiti kapal dan kerajaan Malaysia juga telah memberitahu mereka akan mempertimbangkan apa-apa tawaran bernilai ‘sembilan digit’,” katanya.

Tambah beliau, mengikut proses penjualan kapal layar mewah standard, mahkamah boleh mengubah format penjualan kepada format triti persendirian (private treaty) setelah fasa bidaan tertutup (sealed bid) mandatori selesai.

Beliau turut menjelaskan, Equanimity kini berada dalam keadaan baik di bawah penyeliaan firma pakar pengurusan kapal layar.

“Ia berlayar dengan baik sejak pelancarannya dan hanya mempunyai sedikit masalah, jadi ia perlukan sedikit masa di pelabuhan dan cat baharu, tetapi selain daripada itu keadaannya baik,” katanya.

Equanimity dirampas pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos dan mula dilelong sejak 29 Oktober lalu.

Ketika ini, kapal layar itu berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi.