Dengan nilai pelaburan men­cecah RM50 juta, Enza Zaden Asia Holding Sdn. Bhd. bukan sahaja memiliki hab logistik di sini malah turut membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka di Sauk, Perak.

Pelaburan itu terhasil melalui perbincangan terperinci antara syarikat itu bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada tahun 2015 untuk memperluaskan operasi sebagai pengeluar benih tanaman yang terunggul di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Enza Zaden, Jaap Mazereeuw berkata, pembukaan hab logistik terbaharu itu didorong permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat sekarang yang berubah kepada diet sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kami memilih Pulau Pinang sebagai lokasi hab logistik ini kerana ia berada di lokasi yang strategik serta mampu membekalkan biji benih sayuran tropika bagi meme­nuhi keperluan pasaran Asia Tenggara yang mempunyai populasi penduduk melebihi 600 juta orang membabitkan 13 buah negara.

“Dengan adanya pusat R&D juga, kami mampu menghasilkan biji benih bermutu tinggi yang mengeluarkan sayuran berkhasiat selain rintang penyakit serta menggunakan baja yang minimum,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pejabat itu hari ini.

Majlis pelancarannya disem­purnakan oleh Penasihat Khas kepa­da Perdana Menteri berkaitan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Yang turut hadir, Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Jaap Mazereeuw menambah, pihaknya juga berusaha menyelesaikan per­­masalahan yang dihadapi petani dengan menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan kepelbagaian benih yang bersesu­aian dengan menggunakan teknologi terkini selari dengan usaha dalam memajukan pertanian moden.

Jelasnya, buat permulaan, me­reka kini memiliki 70 pekerja di peringkat awal dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut perkembangan perniagaan syarikat.

Sementara itu, Zainal Abidin memuji usaha yang dimainkan oleh syarikat itu bagi mengembangkan pertanian moden de­ngan memperkenalkan benih sayuran yang bermutu tinggi dan bebas racun perosak.

“Saya yakin dengan keupayaan NCIA bagi membantu dan menyokong pelaksanaan operasi pu­sat ini serta menjadikan Malaysia sebagai hab serantau kepada pelaburan asing dengan membawa teknologi moden ke sini,” ujarnya.