Bercakap kepada Utusan Malaysia, buat masa ini mereka lebih senang bayi yang dilahirkan pada pukul 12 tengah hari itu dipanggil #amyraamarjr dan apabila tiba waktu sesuai, nama putera sulung mereka akan diumumkan.

“Kami sudah menandatangani perjanjian eksklusif dengan sebuah program televisyen untuk mendedahkan nama dan wajah anak. Nanti lepas tamat pantang dan program tersebut mula dita­yangkan, barulah akan diumumkan.

“Dijangka program tersebut akan menemui penonton pada awal tahun hadapan,” katanya yang berada di sisi Amyra ketika bayi tersebut dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Prince Court di sini.

Menurutnya, Amyra bersalin awal seminggu dari tarikh yang dijangkakan iaitu pada 25 Oktober ini.

Pada masa sama, menerusi laman sosial kedua-dua pelakon itu, mereka memuat naik seke­ping foto tanpa mendedahkan wajah bayi mereka.

Malah Amar juga menjelaskan, isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan akan dibenarkan keluar wad esok.

Berdasarkan kapsyen yang disertakan, Amar dan Amyra berterima kasih kepada para peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Alhamdulillah... Aku mohon perlindungan untukmu wahai anakku yang baru lahir, dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan syaitan, binatang-binatang berbisa dan daripada kejahatan yang menakutkan. Amin,” tulis pasangan itu lagi.

Amar dan Amyra bernikah pada 11 November 2016 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.