Malah bukan setakat itu sahaja, mereka berada di tangga ke-57 sekali gus meletakkan MCKK di dalam kalangan 100 sekolah terbaik yang mengambil bahagian.

Pengetua MCKK, Anand Baharudin berkata, sebelum memasuki ke pertandingan berprestij itu, para pelajar terpaksa menempuhi dua pusingan kelayakan di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik yang masing-masing berlangsung di Pulau Pinang dan Melbourne, Australia.

"Alhamdulillah, enam pelajar ini berjaya ke pertandingan akhir yang berlangsung pada 16 hingga 20 November lalu dan terpaksa berentap sekolah lain dari 58 buah negara.

"Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan pelajar kami mampu melakar nama di peringkat antarabangsa, malah mampu setanding sekolah lain di persada global," katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan pelajar MCKK dari AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Turut menyambut kepulangan pasukan itu adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada masa sama, seorang peserta, Muhammad Luqman Mohammad Nawar, 16, berkata, setiap pasukan terlibat dinilai daripada empat aspek iaitu kuiz individu, kuiz kumpulan, tulisan esei dan debat.

Katanya, setiap aspek berkenaan mempunyai soalan berkaitan pengetahuan mereka dalam bidang sains, sejarah dan hubungan kemanusian.

Selain Muhammad Luqman, lima wakil MCKK adalah Muhammad Mikhail Taufiq, 14, Hilman Irfan Hilmi, 15, Muhammad Faiz Syafie Zubair, 16, Muhammad Alif Daniel Jafri Malin, 16, dan Ahmad Adam Mohamad Adan, 16, bersama seorang guru pengiring, Sharifah Nor Azam Syed Zainal Khodki.- UTUSAN ONLINE