Rangka tindakan berkenaan menggunakan Strategi Laut­an Biru Kebangsaan (NBOS) ber­­sama-sama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rangka tindakan tersebut yang dirangka sejak awal tahun lalu bertujuan menghargai dan mengiktiraf warga ATM, veteran tentera dan warga awam di kementerian itu.

Malah, rangka tindakan yang bermula tahun ini hingga 2022 memberi manfaat kepada 102,820 orang itu, antara lain bagi mening­katkan perkhidmatan pendidikan menerusi inisiatif kebajikan dan menaik taraf kemudahan prasarana pendidikan.

‘‘Dalam pendekatan pertama iaitu pembangunan infra pendi­dikan, kesemua 38 buah sekolah dalam kem akan diselenggara dan ditambah baik fasiliti serta kelengkapannya.

‘‘Usaha itu juga meliputi kerja menaik taraf sembilan sekolah rendah harian biasa kepada sekolah cemerlang dan dua sekolah menengah terpilih menjadi sekolah berprestasi tinggi dengan menjadikannya sebagai ‘feeder school’ kepada universiti awam,’’ katanya selepas melancarkan rangka tindakan itu di Kem Bata­lion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kluang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Panglima ATM, Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, tunjang kedua rangka tindakan itu adalah untuk memperkasa Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak sebagai institusi pendidikan yang unggul dalam bidang sukan dan akademik.

‘‘Dalam agenda ini, kita juga akan terus memperjuangkan inisiatif kebajikan pendidikan kementerian dengan melaksanakan tuisyen dalam talian, per­khidmatan jagaan anak-anak, feri sekolah, program motivasi dan pelbagai lagi.

‘‘Tunjang keempat pelan tindakan ini pula untuk mengiktiraf dan menghargai warga ATM termasuk veteran dan warga awam kementerian dengan bekerjasama rapat dengan industri pertahanan dalam pelbagai aspek,’’ katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menegaskan, pengenalan rangka tindakan itu membuktikan kerajaan khusus­nya Kementerian Pertahanan tidak pernah mengabaikan kebajikan warganya.

‘‘Ini jaminan dan ikrar kita untuk memberi pembelaan penuh kepada warga pertahanan dan bukannya bermusim.

‘‘Sebaliknya, usaha kita adalah berterusan kerana kita tahu mereka sentiasa bersama-sama kerajaan memastikan kestabilan negara,’’ katanya.