Ketua Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu masing-masing melibatkan dua syarikat pemborong di daerah ini dan Besut.

Katanya, kesemua syarikat pemborong telur itu diarahkan untuk menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hari.

"Pemeriksaan telur telah dilakukan di 93 premis perniagaan termasuk 16 syarikat pemborong utama selepas menerima aduan kenaikan harga telur di negeri ini.

"Pemeriksaan juga mendapati berlaku kenaikan sedikit pada harga runcit dan borong telur sejak bulan lalu," katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Kuala Berang di sini hari ini.

Zulfamy berkata, kenaikan harga telur itu didakwa disebabkan peningkatan harga daripada pembekal dan wabak selesema burung atau H5N1 yang mengurangkan pengeluaran.

Dalam perkembangan sama, katanya, pemeriksaan KPDNHEP negeri juga mendapati harga sayur dan ikan di negeri ini meningkat antara lima hingga 10 peratus pada musim tengkujuh ini. - UTUSAN ONLINE