Ujar Ketua Aktivis PPIM, Yusof Azmi, syarikat berkenaan telah dilantik PPIM bagi menjalankan kerja-kerja pengurusan namun dia tidak menyangka, ada ‘orang dalam’ yang sanggup bertindak sedemikian rupa.

Kata Yusof lagi, keempat-empat individu terbabit baharu sahaja menyertai syarikat berkenaan namun segala yang dilakukan mereka ketika ini adalah sesuatu yang begitu memalukan.

“Ada di antara mereka baru bertugas selama setahun, tiga bulan serta dua bulan. Ketika dilantik untuk bekerja, kami bagaikan diperdayakan dengan imej Islam yang dipaparkan. Tambahan pula, salah seorang daripadanya merupakan rakan adik saya.

“Saya tidak faham mengapa mereka sanggup melakukan perbuatan terkutuk dengan mencuri duit syarikat dan apabila ‘terkantoi’, mereka menuduh saya sebagai penyebabnya,” ujar Yusof dalam satu sidang akhbar yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir, Wakil peguam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim dan Mohd. Fadhly Yaacob.

Terdahulu, Yusof yang juga merupakan pengurus syarikat berkenaan tampil bersama PPIM dan membuat laporan polis kerana segala bukti sabotaj itu berjaya dijejaki dan perlu diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan.

Menurut Yusof, pejabat PPIM yang berlokasi di Kondominium Villa Puteri telah diserang beberapa individu baru-baru ini dan provokasi telah dilakukan kononnya Yusof Azmi dan PPIM melakukan kegiatan penyelewengan.

“Namun begitu, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipadamkan namun berjaya diperoleh kembali, kami dapat lihat wajah-wajah dalang memberi isyarat antara satu sama lain untuk mencuri maklumat akaun peribadi, beberapa dokumen rahsia serta fail-fail milik pelanggan,” katanya.