Perkhidmatan itu adalah perkhidmatan ditetapkan berkaitan dengan barang untuk dieksport yang mana perkhidmatan itu dibekalkan kepada pelanggan luar negara dan perkhidmatan ditetapkan yang dibekalkan dalam zon bebas, termasuk gudang pengilangan berlesen (GPB) kepada pelanggan luar negara.

Dua lagi perkhidmatan terbabit ialah perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan yang disediakan kepada pelanggan luar negara dan perbelanjaan tidak berulang yang ditanggung sebagai perbelanjaan kejuruteraan, termasuk alat dan jentera yang digunakan dalam proses pengilangan barangan.

Menurut Perdana Menteri, bagi menampung pindaan yang perlu kepada Perintah Kadar Sifar GST, pengecualian daripada dikenakan GST di bawah Seksyen 56 Akta GST 2014 telah diberikan berkuat kuasa 1 Julai lalu.

“Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada komuniti perniagaan di negara ini.

“Kami juga mengalu-alukan dialog dalam kalangan pemain industri,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dan Pemangku Presiden AMCHAM, Datuk Tim Tariq Garland.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut memaklumkan satu garis panduan berkenaan pengecualian cukai pegangan akan diumumkan hujung bulan ini.

“Garis panduan ini akan dirangka oleh Kementerian Kewangan, MITI dan MIDA bersama industri dan persatuan perniagaan yang berkaitan.

“Malah, satu jawatankuasa khas di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan bakal diwujudkan bagi menangani sebarang kekeliruan yang mungkin timbul,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, Malaysia mahu firma AS yang maju untuk terus berkembang di negara ini selain menjadi rakan strategik dalam perniagaan baharu yang akan memacu negara ke arah status berpendapatan tinggi.

“Malaysia ketika ini menerokai peluang-peluang baharu menerusi Industri Revolusi Keempat dan kami mahu melihat lebih banyak proses pembuatan pintar dan teknologi yang akan meningkatkan pengeluaran secara efisien dan fleksibel,” katanya. - UTUSAN ONLINE