Kesemua graduan berumur 21 tahun dan berlainan ibu itu merupakan anak kepada pemilik firma akauntan, Datuk Dr Zulkepli Mohamed.


Juliana Aziera yang dilahirkan pada Februari merupakan yang paling tua dalam empat beradik tersebut diikuti Ayu Syaheera bulan Oktober manakala Zul Azril dan Zul Azrul pada November.


Lebih manis apabila melihat ibu kepada keempat-empat beradik tersebut Datin Hasnah Mat Ya, 59; Rafizah Senawi, 51; Nurida Razali, 51, serta Norreha Abdul Rahman, 48, amat rapat dan hadir pada hari bersejarah tersebut.


Zulkepli yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma berkata, 
beliau amat berbangga dengan kejayaan anak-anaknya dimana dua darinya iaitu 
Ayu Syaheera dan Zul Azrul memperoleh Anugerah Naib Canselor apabila masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89.


“Saya berbangga dengan kejayaan mereka. Saya memang bersepakat dengan mereka supaya memilih subjek perakaunan kerana kelak saya mahu anak-anak meneruskan perniagaan saya dalam bidang perakaunan ini.


“Saya bercadang untuk menempatkan mereka di firma akaun milik saya sendiri bagi mengantikan saya satu hari nanti. Malahan, sekarang Ayu dan Juliana sedang berkerja dan mencari pengalaman di syarikat.


“Zul Azril dan Zul Azrul pula sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Machang dan Puncak Alam pada Mac lalu. Saya bersyukur dengan kejayaan bersejarah dalam keluarga kami ini dan harap mereka akan terus maju di masa hadapan,” katanya.


Sementara itu, Ayu Syaheera berkata, disebalik kejayaan tersebut adalah pengorbanan bapanya yang turut sama membantu anak-anak mengulang kaji pelajaran.


“Kami sentiasa belajar bersama dan saling tolong menolong antara satu sama lain, tetapi papa juga merupakan rujukan utama kami.


“Kami akan berbincang dengan papa seandainya tidak memahami sesuatu subjek sama ada secara berhadapan ataupun melalui aplikasi ‘Whatshapp’.


“Kami juga bersaing secara sihat sesama sendiri untuk mencapai keputusan cemerlang setiap semester. Kami adik beradik akan saling tunjuk ajar sesama sendiri dan sentiasa bersama dari kecil lagi, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE