Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him berkata, mereka mahu memperjuangkan satu masyarakat yang bebas, adil dan saksama serta mahukan pilihan raya yang bersih apabila semua calon bertanding atas pentas yang sama rata.

“Kami berpegang kepada prinsip bahawa pengundi mempunyai hak untuk memilih calon yang mereka percayai bagi mewakili mereka tanpa paksaan dan gangguan daripada mana-mana pihak.

“Demi masa depan yang lebih baik, kesejahteraan negara, dasar perjuangan atas prinsip demokrasi demi keadilan serta kesaksamaan semua rakyat hendaklah sentiasa jelas dalam ingatan ahli-ahli politik dan visi perjuangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Menurutnya, beliau akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, manakala Goh Leong San di DUN Kesidang dan Parlimen Kota Melaka, Lim Jack Wong (DUN Ayer Keroh) sementara Chin Choong Seong (DUN Banda Hilir).

Keempat-empat mereka telah keluar daripada DAP pada awal tahun lalu setelah tidak bersetuju dengan perjuangan parti tersebut yang dilihat menyimpang daripada objektif asal. - UTUSAN ONLINE