Baginda bertitah, elemen ren­tas kemanusiaan itu berlaku apabila alam manusia bakal dirangkumkan bersama dunia robot melalui Revolusi Perindustrian Keempat (Revolusi Industri 4.0).

“Manusia harus melihat kebarangkalian wujud ekosistem baharu yang bakal mengubah bukan hanya cara hidup dan cara kerja serta masyarakat dan norma, malahan persepsi tentang “manusia” itu sendiri,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-15 di Behrang di sini, hari ini.

Titah Sultan Perak, Revolusi Industri 4.0 akan membawa kepada transformasi cara kerja dan budaya kehidupan harian melibatkan tiga domain utama, iaitu fizikal, digital serta biologikal.

Sultan Nazrin bertitah, Re­vo­lusi Industri 4.0 mencetuskan cabaran baharu yang me­nuntut manusia supaya sedia keluar dari zon keselesaan di samping menguasai pelbagai elemen termasuk pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

Dalam pada itu, Sultan Perak turut menekankan kepentingan me­­mastikan manusia terus berperanan sebagai tenaga kerja utama tanpa didominasi oleh robot, selain menjadi pereka cipta sistem robot untuk memudahkan kerja tanpa mengorbankan nilai serta roh kemanusiaan.

“Segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh, digunakan sebaik-baiknya, dipastikan tidak bercanggah dengan konsep ketuhanan dan akidah supaya pada setiap kejayaan menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah, dalam menghadapi keperluan dunia semasa, agenda dan program pendidikan perlu diberikan keutamaan kerana arus kemajuan teknologi sedang berlaku pada kadar yang sangat pantas.

“Pendidikan bagaikan ko­mo­diti yang dijadikan mudah untuk diperoleh oleh setiap keluarga. Pendidikan telah berperanan sangat penting lagi berkesan mengubah struktur sosial dan struktur ekonomi masyarakat.

“Program pendidikan hendaklah terus diperluas dan diperkembangkan. Malah, di dalam menghadapi keperluan dunia semasa, dan cabaran dunia akan datang, program pendidikan bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan,” titah baginda.

Pada istiadat konvokesyen itu, seramai 1,427 graduan menerima anugerah merangkumi 25 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 1,402 graduan diploma pelbagai program iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik dan Perdagangan. – BERNAMA