Suasana malam di kampung itu yang sebelum ini kelam bertemankan pelita dan lilin kini berubah apabila kampung itu mula diterangi dengan cahaya lampu elektrik serta meriah de­ngan bunyi televisyen dan radio.

Malah, jika dahulu penduduk hanya menghabiskan waktu ma­lam di rumah, kini mereka mula berkumpul di dewan terbuka berhampiran untuk menjalankan pelbagai aktiviti atau pa­ling tidak berbual-bual sesama mereka.

Menurut pembantu Tok Batin kampung itu, Huda Hamid, 46, sebelum kampung tersebut mendapat bekalan elektrik, majoriti penduduk hanya menggunakan lilin dan pelita pada waktu malam.

Katanya, bagi keluarga yang sedikit berkemampuan, mereka menggunakan generator untuk membekalkan tenaga elektrik bagi menerangi rumah ma­sing-masing.

“Kebanyakan kami hanya mam­pu menggunakan pelita dan lilin. Jadi selepas pertama kali melihat cahaya dari lampu elek­trik di rumah, perasaan sukar digambarkan, cuma apa yang kami semua tahu, kesusahan tanpa elektrik sebelum ini telahpun berakhir.

“Keluarga di kampung ini sudah mula membeli peralatan elektrik seperti televisyen, radio, peti ais dan mesin basuh demi memudahkan urusan seharian mereka, namun apa yang lebih penting anak-anak kami dapat mengulangkaji pelajaran de­ngan lebih mudah pada waktu malam,” katanya.

Katanya, apa yang lebih mengembirakan ialah apabila melihat anak-anak tidak perlu lagi berdepan kesusahan ekoran ketiadaan bekalan elektrik se­perti yang dialami sebelum ini.

“Seronok dapat lihat wajah ceria anak-anak ketika mereka menonton rancangan kartun kegemaran mereka di televisyen. Malah mereka juga cukup gembira apabila melihat banyak makanan se­perti buah-buahan yang kini dapat disimpan dalam peti ais untuk tempoh yang lebih lama.

“Boleh dikatakan kehidupan kami sekeluarga kini semakin lengkap dan sudah tentu ucapan terima ka­sih saya dan penduduk kampung ditujukan kepada kerajaan yang pri­­hatin terhadap ke­per­luan pendu­duk di sini ya­ng sememang­nya sejak sekian lama menantikan ke­mudahan bekalan elektrik ini,” katanya.

Bekalan elektrik ke Kampung Orang Asli Batu 16, Ulu Gombak mula menjadi realiti menerusi kerja-kerja pemasangan talian grid yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kemudian me­laksanakan kerja-kerja pendawaian dalam rumah kepada 22 buah rumah yang ada di kampung tersebut dan menguruskan pemasangan meter elektrik menerusi kontraktor yang dilantik.

Kerja-kerja pendawai­an elek­trik di rumah-rumah di kampung itu siap sepenuhnya pada April lalu dan pemasa­ngan meter dilaksanakan secara berpe­ringkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada awal bulan lalu.

Seorang penduduk, Zailani Musa, 35, pula menyifatkan bekalan elektrik yang diterima ba­nyak memudahkan urusan seharian dirinya dan keluarga.

“Sebelum ini rasa seperti hidup dalam kegelapan, ha­nya boleh guna pelita sahaja, tetapi kini bila ada elektrik semuanya lebih mudah. Isteri saya boleh membasuh pakai­an menggunakan me­sin basuh dan tidak perlu lagi menggunakan tangan.

“Anak-anak juga boleh me­ngulang kaji pelajaran pada waktu malam. Anak sulung saya Marsya Mia Frenly sebelum ini berjaya mendapat tempat kedua dalam peperiksaan di sekolahnya jadi saya harap selepas ini dia akan lebih rajin belajar dan memperbaiki prestasi akademiknya,” katanya.

Katanya, dengan adanya bekalan elektrik, dia juga tidak perlu lagi bimbang de­ngan ancaman haiwan berbisa se­perti lipan dan ular yang kerap memasuki rumah penduduk di kampung ini pada waktu malam.