Malah, bagi kebanyakan nelayan di negeri ini, musim tengkujuh yang bermula setiap Oktober hingga Februari itu bukanlah waktu untuk mereka 'bercuti' daripada keluar menangkap ikan meskipun terpaksa berhadapan ancaman ombak besar serta angin kencang.

KAMARUZAMAN
KAMARUZAMAN 

“Keadaan seperti ini sudah lumrah bagi kami sebagai nelayan. Kehidupan kami adalah di laut dan kebanyakan mereka tidak tahu melakukan kerja lain selain menangkap ikan.

“Walaupun laut bergelora di musim tengkujuh, kami sanggup bertarung maut demi sesuap nasi untuk keluarga,” cerita Kamaruzaman Abdul Rahman, 47, yang tinggal di Kampung Rhu Rendang, di sini hari ini.

Kamaruzaman yang telah menjadi nelayan sejak 30 tahun lalu berharap kerajaan akan terus membantu golongan ini dengan mengekalkan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan dan juga subsidi minyak diesel serta petrol.

“Melalui bantuan itu dapat membantu mengurangkan bebanan hidup apatah lagi setiap bulan terpaksa membayar pinjaman membeli bot RM280 sebulan,” katanya.

Rakannya, Ismail Abdullah, 62, dari Kampung Kijing memberitahu, dia sudah lama tidak keluar ke laut kerana menghadapi masalah kesihatan iaitu sakit jantung sejak lebih setahun lalu dan doktor menasihatinya berehat.

ISMAIL ABDULLAH
ISMAIL ABDULLAH 

“Memandangkan terlalu lama tidak keluar menangkap ikan, elaun sara hidup nelayan juga dihentikan dan kehidupan saya serta keluarga kini bergantung kepada bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya juga tidak mampu melakukan kerja lain dan berharap kerajaan akan terus membantu golongan seperti kami,” ujarnya yang mempunyai tiga orang anak.

Bagi nelayan, Mohamad Abdullah, 55, dari Kampung Rhu Dua menyifatkan elaun sara hidup yang diterima nelayan setiap bulan dianggap sebagai 'penawar' hidup bagi menceriakan anggota keluarga dan meminta kerajaan tidak menghentikan bantuan tersebut.

“Elaun itu merupakan nafas bagi kami dan sekurang-kurangnya tidak perlu berhutang apabila terdesak wang. Ketika musim tengkujuh kami keluar mencari rezeki sekiranya keadaan laut tidak terlalu bahaya,” katanya yang bekerja sebagai nelayan sejak berpuluh tahun lalu dan kini menggunakan bot gentian kaca.

Seorang lagi nelayan dari Kampung Bukit Gasing, Osman Salleh, 62, turut mengharapkan kerajaan dapat meneruskan pemberian elaun itu dan subsidi petrol serta diesel kepada mereka bagi meringankan beban ditanggung oleh golongan sepertinya.