Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya sedang memperincikan pendekatan baharu itu yang dijangka boleh diaplikasikan bermula tahun depan bagi membela nasib golongan itu.

Menurut beliau, penggantian tunai itu antara lain sebagai langkah menyalurkan insentif secara bersasar kepada nelayan selepas melaksanakan proses pemutihan bagi mengenal pasti nelayan tulen.

“Kalau dahulu cash money sekarang kita akan perbaiki mungkin kupon (atau) mungkin smart card (supaya) kita nak pastikannya sampai kepada mereka dan walaupun duit dapat ke poket tetapi tak nak nelayan beli benda-benda lain.

“Kalau RM300 sebulan pada musim tengkujuh kita bagi duit dan mahu mereka beli susu, beras dan sebagainya. Jadi, pendekatan ini nak pastikan (bantuan) sampai selain tak mahu ketirisan berlaku di tengah jalan,” katanya selepas melancarkan Hari Bertemu Pelanggan kementeriannya di sini, hari ini.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini mengumumkan hampir 8,000 nelayan ditapis dan dikeluarkan daripada senarai penerima ESH bagi memastikan hanya nelayan sebenar dan layak menikmati bantuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Salahuddin ketika ditanya adakah jumlah insentif berkenaan masih sama, beliau berkata kementerian ma­sih mengkaji perkara itu.