Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pemberian bantuan tersebut meliputi nelayan laut dalam dan nelayan darat.

"Saya difahamkan oleh Ketua Setiausaha kementerian bahawa kementerian ini mempunyai bajet mencukupi untuk meneruskan bantuan ini.

"Bantuan ini akan melibatkan 5,000 nelayan laut dalam dan 5,400 nelayan darat yang menangkap ikan di sungai dan empangan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian kadar bantuan tersebut ialah antara RM250 hingga RM300 mengikut kategori zon nelayan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya juga akan mengumumkan senarai ahli yang akan menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi pada Isnin minggu hadapan.

Sementara itu, katanya, isu penamatan monopoli Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet akan datang bagi mengelakkan syarikat tersebut menjadi lubuk untuk mengaut keuntungan peribadi. - UTUSAN ONLINE