Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sukan dan Keagamaan Dewan Muda Johor (DMJ), Nur Faizal Kasri berkata, kenyataan Nie Ching itu seolah-olah mencerminkan bahawa pihak kementerian amat menjaga kebajikan industri berbanding kebajikan mahasiswa.

Menurutnya, kementerian seharusnya mengambil berat dan mempertimbangkan isu itu serta melihat faedahnya kepada mahasiswa.

“Justeru, DMJ mencadangkan supaya kementerian dan wakil industri duduk semeja untuk berbincang serta menjayakan pelaksanaan elaun minimum yang munasabah mengikut tempat, sebagai contoh, jika dibandar elaun yang diberi semestinya lebih sikit.

“Pelbagai instrumen boleh digunakan untuk menjayakanya sebagai contoh, pemotongan cukai yang setimpal kepada industri yang memberi elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, semua pihak juga perlu realistik dalam menilai isu tersebut di mana kebanyakan industri ditempatkan di kawasan bandar sekali gus umum mengetahui kos sara hidup di bandar adalah tinggi di samping penuntut perlu menyewa kediaman, kenderaan, makanan dan keperluan lain.

Beliau percaya, jika tiada elaun diberikan, mahasiswa akan merasa terbeban untuk menruskan program latihan industri.

Tambahnya, pihak industri juga perlu tahu bahawa tidak semua mahasiswa menerima biasiswa dan kebanyakkan mereka mengambil pinjaman PTPTN, kewangan terhad sekali gus elaun yang diberikan kelak amat membantu melunaskan keperluan harian mereka.

“Jika tiada sebarang elaun yang diberikan bukan sahaja mereka bakal tersepit dengan masalah kewangan, akan tetapi seolah-olah dilihat mahasiswa yang menjalani latihan industri itu sebagai tenaga kerja percuma.

“Industri dapat manfaat, mahasiswa hilang kudrat dan ia tidak adil sama sekali,” katanya.

Nur Faizal turut mengingatkan bahawa bukan gaji bulanan yang diminta tetapi hanya sekadar elaun sara hidup dan jika itu membebankan industri selain pihak kementerian tidak serius menangani isu tersebut, maka itu merupakan satu bentuk eksploitasi tenaga kerja dan pengabaian terhadap kebajikan mahasiswa. - UTUSAN ONLINE