Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, elaun kritikal tersebut telah lama tertunggak sebelum ini dan dimaklumkan kepadanya setelah menjadi menteri.

"Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan Pusat dalam keadaan berhati-hati dan berjimat dalam perbelanjaan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara.

"Hal ini berikutan hutang negara yang melebihi RM1 trilion," katanya berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Ngiling Bidai Gawai di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian; Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Sarawak, Nor Hisham Mohamad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat dan Ketua Pengarah Perumahan Negara, N. Jayaselan.

Pada 21 Mac lalu, Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba diluluskan oleh Dewan Rakyat berjumlah RM200 kepada 13,342 warga bomba yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 April lalu.

Dalam pada itu, Zuraidi berkata, beliau menghargai peranan dan tugas pasukan bomba yang sangat mulia menangani bencana meskipun boleh membahayakan nyawa mereka bukan hanya kebakaran, banjir, kemalangan malah menangkap haiwan liar seperti ular dan monyet.

"Selain itu, terdapat juga keperluan untuk JBPM Sarawak memikirkan dalam soal kebakaran di kawasan rumah panjang di negeri ini.

"Saya berharap Mohammad Hamdan dan Nor Hisham dapat memikirkannya bagi memastikan kebakaran terutama di rumah panjang dapat dikurangkan," ujarnya.

Beliau memberitahu, usaha perlu dibuat bagi memastikan sistem keselamatan yang ada efisien dan berkesan untuk manfaat rakyat. - UTUSAN ONLINE