Mohd Rohisham

Pegawai Perubatan Jeddah 1438 Hijrah, Dr. Mohd. Rohisham Zainal Abidin berkata, peringatan itu bertujuan memastikan jemaah haji berada dalam keadaan sihat dan boleh melakukan dengan selesa.

“Jemaah haji telah diberikan taklimat kesihatan dan dalam modul itu, telah diterangkan kepada mereka penjagaan kesihatan.

“Sekiranya boleh, ja­nganlah terlalu mendedahkan diri kepada cu­aca panas terlalu lama kerana itu boleh menyebabkan strok haba,” katanya kepada wartawan Malaysia di pusat pengurusan operasi Jeddah di sini hari ini.

Pada 8 Ogos lalu akhbar ini memetik portal Saudi Gazette sebagai berkata, Kemente­rian Ke­sihatan Arab Saudi telah mewujudkan pusat pencegahan strok haba yang canggih di Mina dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

Dalam kenyataan itu, Pengarah Kesihatan Arab Saudi, Ahmed Abdussalam menasihatkan jemaah haji, pekerja dan pegawai yang terlibat dalam operasi haji supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap berlakunya serangan strok haba.

Kata Ahmed, cu­aca panas itu juga boleh mengakibatkan pelbagai je­nis kanser kulit, kulit terbakar dan alahan.

Se­mentara itu dalam satu lagi perkembangan, Mohd. Ro­hisham membe­ritahu, jemaah haji yang membawa bekalan ubat yang banyak diminta diberikan oleh doktor sebelum ke Tanah Suci dan mestilah disertakan dengan deskripsi­nya.

Ini katanya, memudahkan pi­hak berkuasa kesihatan Arab Saudi semasa memeriksa buku rekod kesihatan atau bagasi jemaah haji.

Menjelaskan proses peneri­maan jemaah haji dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abduaziz Jeddah, bahagian kesihatan bergerak akan membantu setiap jemaah, ter­utamanya kepada warga emas, uzur dan memerlukan perhatian perubatan.

“Semasa tiba, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi akan memeriksa secara rawak buku rekod kesihatan jemaah haji untuk memastikan mereka telah mendapatkan suntikan. Setakat hari ini, tiada masalah,” ujarnya.

Mengenai kesihatan jemaah haji setibanya di Jeddah, beliau memberitahu, mereka kepenatan dan selesema, namun tidak memerlukan rujukan ke hospital di sini.

“Pemeriksaan kesihatan yang dibuat semasa di tanah air telah banyak membantu di Tanah Suci ini. Pegawai perubatan boleh mengenal pasti masalah kesihatan setiap jemaah haji,” beritahunya. – UTUSAN