Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, kesedaran dalam kalangan orang ramai yang mahu mendirikan pusat pengajian seperti itu harus dipuji tetapi ia belum mencukupi sebelum beberapa faktor tertentu diambil kira berkaitan cara ia beroperasi.

Justeru itu katanya, sikap ‘bi­na dulu dan mohon kebenaran kemudian’ patut dielakkan oleh mereka yang berhasrat menubuhkan pusat pendidikan persendirian.

"Seperti yang kita tahu, pusat pendidikan agama seperti tahfiz tumbuh macam cendawan sama ada oleh secara berkumpulan atau secara individu. Kadang-kadang kurang daripada 10 pelajar pun sudah mahu tubuh pusat tahfiz.

"Kesedaran ini kita puji tetapi pengendali masih perlu patuh kepada syarat-syarat pihak berkuasa terutamanya berkaitan ke­selamatan pelajar dan kita tidak boleh hanya berharap semua itu akan dapat diatasi selepas kita tubuhkan dulu sekolah ini," kata­nya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Tahfiz Darul Ulum, Negeri Sembilan yang di­ras­mikan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Kamal Amran Kamaruddin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo dan Pengerusi Akademi Darul Ulum, Mustaffa Daharun.

Semalam, seramai 21 pelajar dan dua orang warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di ibu negara, maut selepas terperangkap dalam tragedi kebakaran asrama.

Dalam pada itu Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid mengingatkan ibu bapa supaya emilih pusat tahfiz yang menawarkan kemudahan pem­belajaran yang selamat untuk anak-anak dalam mempelajari ilmu akhirat kerana menjaga ke­selamatan diri itu juga dituntut dalam Islam.

Menurutnya, dalam menuntut ilmu, prasarana dan keselamatan anak-anak di tempat belajar perlu diambil kira.

Malah katanya, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak hanya memikirkan syafaat menghantar anak mempelajari ilmu al-Quran semata-mata, sebaliknya banyak perkara lain yang dituntut dalam Islam termasuk aspek ke­selamatan.

"Suka diingatkan apabila memilih anak-anak belajar di pusat tahfiz dengan tujuan mendapat ilmu, perkara utama yang perlu difikirkan adalah kemudahan-kemudahan yang disediakan.

"Pilihlah tempat yang lebih efisien serta menjamin ketenteraman (keselamatan) anak-anak untuk mengejar ilmu akhirat," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Moha­mad berkata, pusat-pusat tahfiz di negara ini perlu memperbaiki kemudahan yang ditawarkan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, perkara tersebut yang juga meliputi aspek keselamatan adalah dituntut dalam Islam.