Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perkara tersebut wajar diberikan keutamaan dan perhatian serius oleh pihak terbabit khususnya ketika musim panas yang melanda negara pada ketika ini.

“Mungkin pelajar juga boleh membantu membersihkan kawasan sekolah termasuk menerusi aktiviti gotong-royong. Namun perlu ada pemantauan dalam kalangan guru kerana dikhuatiri lokasi dibersihkan itu terdapat binatang berbisa seperti ular,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Persidangan Antarabangsa Permata 2016 di Seri Perdana, di sini hari ini.

Rosmah mengulas kejadian menimpa murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Datu' Hashim di Kota Bharu, Kelantan, Nuriey Nadirah Roslan yang maut dipercayai akibat patukan ular kelmarin.

Dalam kejadian semalam pula, seorang murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan Chembong, Rembau, Negeri Sembilan terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban selepas dipercayai dipatuk ular ketika bermain di padang sekolah.

Sementara itu, Rosmah mengumumkan, Program Permata Negara (Permata) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Permata 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Katanya, persidangan bertemakan Children Beyond Tomorrow itu dijangka dihadiri lebih 1,500 peserta dan bertujuan memupuk kesedaran serta pemahaman kepada masyarakat mengenai pembangunan optimum kanak-kanak.

Beliau yang juga merupakan Penaung Permata menambah, persidangan tersebut juga bermatlamat memberi penekanan mengenai peri pentingnya perkhidmatan pendidikan dan intervensi kanak-kanak serta remaja yang merentasi kumpulan umur.

“Berbanding persidangan yang pernah dianjurkan Permata sebelum ini dengan memfokuskan bidang tertentu, persidangan kali ini menyentuh topik secara bersepadu dan holistik dalam memberikan impak lebih tinggi kepada program Permata.

“Persidangan ini menjadi wadah kepada ketujuh-tujuh bidang di bawah Permata untuk berkongsi inisiatif serta amalan dalam memastikan setiap hala tuju mencapai objektif pelaksanaan,” katanya.