Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembakaran sedemikian boleh menyumbang kepada jerebu ditambah dengan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.

“Dua hari lalu, lima titik panas dikesan di Miri, begitu juga di negeri-negeri lain iaitu Pahang, Kelantan dan Johor namun berjaya dipadam.

“Saya berharap agar jerebu tempatan tidak berlaku seperti pada tahun lalu di Baram dan kawasan Miri disebabkan kebakaran tanah individu dan syarikat di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis doa selamat dan kesyukuran bakal jemaah haji Parlimen Santubong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Masjid Darul Hana di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Seramai 57 jemaah haji dari DUN Pantai Damai menerima sumbangan daripada Wan Junaidi dan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, keadaan di Miri juga agak berlainan yang mana kering dan minyak yang keluar dari permukaan dapat menyebabkan kebakaran khususnya di sepanjang jalan ke Brunei.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kebakaran di Indonesia, katanya, keadaan yang berlaku di Aceh, Sumatera dan Kalimantan adalah tidak membimbangkan.

“Cuma kita berharap tiada kebakaran yang berlaku berhampiran sempadan Sarawak dengan angin boleh membawa jerebu ke sini," jelasnya. - UTUSAN ONLINE