Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedua-dua pihak sepatutnya berbincang terlebih dahulu supaya setiap masalah yang timbul dapat diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, beliau kesal kerana kes tersebut berlaku di Negeri Sembilan serta berharap ia menjadi te­ladan kepada guru dan ibu bapa lain.

“Kita perlu bertolak ansur dalam proses menghasilkan generasi yang baik. Memang betul cikgu mahu mendidik tetapi ada garis panduan. Begitu juga ibu bapa sayangkan anak, tetapi ingat sa­yangkan anak ditangan-tangankan.

“Kadang-kadang cikgu kerana terlalu nak membetulkan keadaan, tertampar murid. Bukan menampar kerana benci atau dera tetapi untuk jadikan pengajaran. Ibu bapa perlu faham manakala cikgu pula jangan melampaui batas,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam melepas tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan seorang murid lelaki berusia 11 tahun dalam perhimpunan sekolah pada April lalu.

Azizan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit ke­salahan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu berperanan sebagai pe­ngantara dalam mengatasi sebarang masalah melibatkan guru dan ibu bapa.

“Sebab itu PIBG jangan simpan kes-kes seperti itu supaya ada pihak yang boleh merun­dingkannya. Saya percaya tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Alhamdulillah, pihak Jabatan Peguam Negara tarik balik dakwaan (terhadap Cikgu Azizan). Kalau tidak adalah malang dalam sejarah negara kita apabila guru dihukum penjara kerana mendidik anak bangsa,” katanya.

Beliau juga berharap pihak yang terlibat dalam kes itu supaya saling bermaafan dan menyelesaikan isu berkenaan secara hormat dan semangat kekeluargaan.

“Saya juga nasihatkan jangan ada yang mahu menjadi juara dalam hal ini. Ini isu masyarakat dan jangan dipolitikkan sebaliknya biar masyarakat yang membetulkannya. Kalau dipolitikkan akan bertambah sakit,” katanya.

Mengenai cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya diwujudkan Kod Etika/Ibu Bapa Penjaga bagi mempertahankan tindakan guru, Mohamad berkata, yang paling penting adalah persefahaman antara ibu bapa dan guru.

“Kena ada semangat kebersamaan untuk membina masyarakat madani yang progresif. Kita telah silap kerana semangat persefahaman itu tidak ada. Dulu ibu bapa hantar anak kepada guru ajar baik-baik jangan sampai patah riuk. Cikgu-cikgu saya garang tetapi bertanggungjawab. Kalau tidak ada persefahaman dan perasaan bersangka baik satu sama lain, tak guna ada etika,” katanya.