Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sebaliknya, sektor korporat seharusnya menggalakkan kepelbagaian dalam pengurusan demi mengembangkan bakat pekerja secara menyeluruh tanpa cenderung ke arah gender, kaum atau mengikut negeri tertentu yang disukai ketua syarikat.

Jelas beliau, banyak syarikat membuktikan kejayaan mereka apabila ‘mengadunkan’ kepakaran dan mengiktiraf bakat anak-anak muda dan tidak hanya mereka yang berumur melebihi 50 tahun ke atas sahaja diletakkan dalam barisan ahli lembaga pengarah.

“Kadang-kadang kita terlepas pandang dengan menyatakan bahawa kita mengamalkan meritokrasi tetapi tidak ada kepelbagaian, sebaliknya mengamalkan elemen pilih kasih. Kita faham sebagai manusia ada kecenderungan terhadap sesuatu kaum, agama atau mereka dalam satu sekolah atau negeri yang sama.

“Tetapi kalau kita tidak berhati-hati kecenderungan itu boleh berkembang kepada pilih kasih dan boleh menjadi kronisme, kalau tidak berhati-hati lagi boleh mewujudkan prejudis kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Laporan Kelestarian Malaysia Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) (MaSRA 2015), di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Dr. Lukman Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Wahid dalam ucapannya berkata, laporan kelestarian berkaitan perniagaan amat penting sebagai garis panduan kepada sektor korporat bergerak seiring dengan langkah transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan ke arah mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi secara inklusif dan mampan pada tahun 2020.

Kata beliau, nilai-nilai tersebut perlu diwujudkan dalam dasar-dasar perniagaan mereka dengan merangka stategi lebih baik serta mengenal pasti peluang baharu bagi meningkatkan prestasi lebih tinggi, berinovatif dan berdaya saing.

“Maklumat daripada laporan mampan itu mampu memberi manfaat kepada organisasi dalam beberapa cara, seperti membina kepercayaan dengan pihak berkepen­tingan, memperteguhkan sistem dan mempunyai visi dan strategi yang progresif,” katanya.

Terdahulu, Abdul Wahid men­yampaikan anugerah MaSRA 2015 yang dimenangi Axiata Group Bhd. mengatasi 50 penyertaan lain manakala Digi.Com Bhd dan Nestlé (M) memperoleh tempat kedua.

Nets Printwork Sdn. Bhd. pula memenangi kategori Laporan Mampan Terbaik dalam industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain Sime Darby Property Bhd. dan Sime Darby Bhd. menang bagi kategori Laporan Mampan terbaik perseorangan dan Laporan Mampan terbaik bersama Laporan Tahunan.