Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.


Katanya, antara produk yang terlibat adalah Has Beauty iaitu Majaja Serum Channtiq yang mengandungi racun merkuri.


“Produk Karisma Cosmetic iaitu Karisma Treatment Sarang Burung, DM Beatuy Resources iaitu Alora Night Glowing Cream dan Aleeya Ultimate Enterprise iaitu Diamond Gold Treatment Cream pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin.


“Produk kosmetik yang dicampurpalsukan dengan hydroquinone dan tretinoin ini dipromosikan untuk merawat masalah jerawat, mencerahkan kulit wajah, masalah jeragat dan membantu mengurangkan kedutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kosmetik mengandungi racun berjadual
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Pengunaan produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual secara berterusan akan menyebabkan kulit pengguna lebih sensetif, mengelupas dan kemerahan.


Dr. Nor Hisham berkata, pengguna dinasihatkan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan selepas menggunakan produk kosmetik berkenaan.

Beliau menegaskan, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.


“Mereka diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. ujarnya. - UTUSAN ONLINE