Menurutnya, pendekatan itu tidak hanya dilakukannya bagi tujuan mempersiapkan diri untuk pertandingan tetapi kerap diamalkan sejak dahulu lagi bagi memastikan kualiti bacaan al-Quran dapat dipertingkatkan.

“Belajar dan mengaji al-Quran perlu dilakukan sepanjang hayat. Meskipun telah belajar secara serius sejak kecil daripada ayah yang merupakan seorang guru mengaji, namun sehingga kini saya masih mengikuti kelas tahsin di Institusi Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran di Banten, Indonesia iaitu menyempurnakan segala aspek berkaitan pengucapan huruf-huruf al-Quran.

“Kalau di rumah belajar dengan ayah, kalau di kampus belajar dengan guru. Soal pemakanan juga penting. Bagi menjaga kualiti suara, saya langsung mengelak daripada mengambil minuman sejuk serta makanan yang pedas dan berminyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 Tahun 1439H/2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

MTHQA yang memasuki hari kedua penganjurannya menyaksikan 10 qari dan qariah memperdengarkan bacaan mereka malam ini.

Selain Khamisatudduha, qari dan qariah lain ialah Salim Yusof dari Kemboja, Lamija Alili (Croatia), Awang Muhd Fikri Awang Metussin (Brunei), Koltoum Zerrad (Maghribi), Muhammad Syarafuddeen Mazlan Abdullah (Singapura), Muhammad Yusuf (United Kingdom), Li Jun (China), Mogamat Rayan Taliep (Afrika Selatan) dan Mukhammadyusuf Khomidov (Uzbekistan).

Sementara itu, qari dari Kemboja, Salim, 34, berkata, dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dalam pertandingan ini sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti bacaan.

“Kedudukan Kemboja diakui masih jauh Ketinggalan, namun saya cuba melakukan yang terbaik.

“Mendapat tempat teratas bukanlah sasaran utama saya tetapi lebih kepada menimba pengalaman memandangkan saya baru pertama kali terpilih mengikuti tilawah al-Quran ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE