Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ekspo yang dikendalikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan diadakan dalam satu bangunan khas yang dibina secara sementara di Dataran Merdeka di sini.

Menurutnya, ekspo ber­kenaan akan berlangsung selama sebulan bermula 15 November sehingga 15 Disember ini dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam secara percuma.

“Ekspo ini merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berhasrat agar ia menjadi medium terbaik untuk rakyat melihat, mende­ngar dan merasai sendiri segala pencapaian pembangunan dan infrastruktur yang dihasilkan oleh kerajaan.

“Diharapkan ekspo ini mampu menjadi satu bingkisan gambaran sejauh mana kemajuan yang te­lah kita capai hasil usaha kepemimpinan pihak kerajaan dan sokongan padu yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis prapelancaran Ekspo Negaraku 2017 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah EPU, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Menurut Abdul Rahman, ba­ngunan sementara di Dataran Merdeka sempena ekspo berkenaan bakal menarik perhatian ramai kerana didirikan berasaskan teknologi canggih.

Katanya, bangunan tersebut akan dibina menggunakan lima ku­bah geodesi yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara iaitu ku­bah pertama berkonsepkan seperti sebuah teater; kubah ke­dua, berbentuk ruang pameran bervisual yang menggunakan teknologi elektronik.

Kubah ketiga juga berbentuk ruang pa­meran tetapi menonjolkan kejayaan program dan inisiatif dalam me­­­ringankan kos sara hidup rak­yat manakala kubah keempat dan kelima berkonsepkan pusat video interaktif.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sempena ekspo tersebut, pe­ngunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai acara menarik pada setiap hujung minggu termasuk pertan­dingan futsal, zumba, pasar malam, perlumbaan go-kart dan sukan rakyat.

“Sebab itu Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi ekspo kera­na kedudukannya yang sa­ngat strategik untuk orang ramai de­ngan tersedianya akses pe­ngangkutan awam seperti Transit Ali­ran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan bas.

‘‘Bagi mereka dari luar Lembah Klang yang berminat untuk melawat Ekspo Negaraku 2017 boleh menulis secara rasmi kepada urus setia untuk urusan khas bagi pengangkutan dan penginap­an menerusi [email protected] atau hubungi 016-8689830,” katanya.