Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, jumlah perdagangan dan pelaburan itu diperoleh menerusi 14 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bernilai RM5.1 bilion dan sesi pemadanan perniagaan yang mencatatkan potensi urusniaga sebanyak RM7.6 bilion.

Jumlah tersebut, jelas beliau, mengatasi sasaran awal yang dijangka diperoleh menerusi penyertaan dalam ekspo tersebut iaitu sebanyak RM1 bilion.

Menurutnya, MoU yang ditandatangani itu antara lain meliputi kerjasama dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, minyak dan gas, inovasi, air, kumbahan dan keusahawanan.

“Memorandum yang ditandatangani itu walaupun masih di peringkat perbincangan antara syarikat Malaysia dan Kazakhs­tan, saya yakin dengan soko­ngan kedua-dua kerajaan, ia akan menjadi kenyataan.

“Dagangan antara Malaysia and Kazakhstan sangat kecil dengan lebih banyak syarikat Malaysia melabur di negara tersebut, sebab itu kita sertai ekspo ini untuk mengenalpasti peluang meningkatkan jumlah dagangan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakshtan yang di­sertai lebih 200 pengurusan dan peneraju perniagaan dari kedua-dua buah negara.

Menurut Maximus, Malaysia akan meneruskan momentum hubungan dagangan yang baik dengan Kazakhstan dan merea­lisasikan MoU yang ditandata­ngani pada ekspo tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam Pavilion Malaysia di Astana Ekspo 2017 dikunjungi seramai 619,337 pelawat, melebihi sasaran awal iaitu 200,000 pengunjung.

Jelasnya, Pavilion Malaysia adalah antara yang paling ramai dikunjungi dan telah mendapat pengiktirafan sebagai pavilion terbaik interpretasi tema ekspo oleh majalah berprestij Amerika Syarikat, Exhibitor.

Astana Ekspo 2017 yang bertemakan ‘Tenaga Masa Depan’ disertai 115 negara akan berakhir pada 10 Oktober ini.