Ketua ekspedisi merangkap 
Pre­siden KE7B, Muhamad Mu­qha­rabbin Mokhtaruddin berkata, bukan niat pihaknya untuk mencipta rekod baharu tetapi ingin mengajak lebih ramai rak­yat Malaysia menceburi bidang sukan ekstrem.

Katanya, terdapat banyak rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan lasak tetapi bakat mereka perlu diketengahkan lagi.

“Selain itu, kejayaan kami menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara merupakan satu penanda bahawa sukan ekstrem negara kini bertaraf antarabangsa.

“Walaupun kami rakyat Malaysia mempunyai tubuh badan bersaiz kecil berbanding negara lain, namun kami bertiga berjaya menamatkan misi dalam tempoh lebih awal daripada dirancangkan sebelum ini dan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar selepas tiba dari Oslo, Norway di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketibaan mereka ke tanah air disambut Penasihat KE7B me­rangkap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Selain Muhamad Muqharabbin, ekspedisi itu disertai dua ikon sukan lasak, Muhammad Irwan Yusoff Abdullah dan Shahrom Abdullah mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara dengan melakukan cabaran meluncur di atas ais.