Orang ramai mula tiba seawal 7 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Larian Bendera Negaraku melibatkan kira-kira 5,000 peserta membuka tirai program.

Sebelum itu, peserta larian menyertai acara senamrobik untuk memanaskan badan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi tetamu terhormat majlis pelancaran Ekspresi Negaraku berkenaan. Beliau dijadual tiba di Dataran Putrajaya pada 11 pagi.

Antara kegiatan yang diadakan ialah 'Zon Kebanggaan dan Kecintaan' bagi menampilkan kisah-kisah individu yang telah menyumbang kepada negara melalui 'Kisah-kisah Kejayaan Negaraku'.

Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa dean negara.

Pada sebelah malam, Konsert Ekspresi Negaraku akan menampilkan artis-artis ternama seperti Amy Search, Ella dan Bunkface.

Najib dalam catatan blog beliau sebelum ini berkata inisiatif 'Negaraku' bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat, mengetepikan sebarang perbezaan serta bersatu hati dalam menjayakan cita-cita bagi membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya. - BERNAMA