Baginda bertitah, biarpun garapan kukuh sains dan teknologi memainkan peranan penting, kekuatan dalam bidang kemanusiaan dan seni liberal juga merupakan elemen penting dalam mencapai perspektif kritikal pada masa kini.

Titah baginda, pendekatan baharu dalam penyampaian pengajaran juga memerlukan penyertaan aktif para pelajar dalam proses pembelajaran selain pembangunan pendidikan sepanjang hayat yang diperlukan bagi menghadapi perubahan dunia.

“Perubahan kepada ekosistem pendidikan tradisional dan evolusi seterusnya memerlukan pembaharuan polisi signifikan dan inovasi. Kita kini sedang menghasilkan polisi lebih komprehensif dalam bentuk MyHE 4.0.

“Bagi mencapai perubahan radikal yang sepatutnya, adalah penting untuk menerapkan lebih banyak pendekatan keusahawanan dalam pendidikan tinggi berbanding pada masa kini termasuk memasukkan peranan lebih besar kepada industri serta teknologi digital melibatkan sektor swasta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja bertajuk pembinaan ekosistem dinamik dan pendidikan inklusif di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pro Canselor UTP, Tan Sri Sidek Hassan. - UTUSAN ONLINE