Baginda bertitah, biarpun garapan kukuh sains dan teknologi memainkan peranan penting, kekuatan dalam bidang kemanusiaan dan seni liberal juga merupakan elemen penting dalam mencapai perspektif kritikal pada masa kini.

Titah baginda, pendekatan baharu dalam penyampaian pe­ngajaran juga memerlukan penyer­taan aktif pelajar dalam proses pembelajaran selain pembangunan pendidikan sepanjang hayat yang diperlukan bagi menghadapi perubahan dunia.

“Perubahan kepada ekosistem pendidikan tradisional dan evolusi seterusnya memerlukan pembaharuan polisi signifikan dan inovasi. Kita kini sedang menghasilkan polisi lebih komprehensif dalam bentuk MyHE 4.0.

“Bagi mencapai perubahan radikal yang sepatutnya, adalah penting untuk menerapkan lebih banyak pendekatan keusahawanan dalam pendidikan tinggi berbanding pada masa kini termasuk memasukkan peranan lebih besar kepada industri serta teknologi digital melibatkan sektor swasta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja bertajuk Pembinaan ekosistem dinamik dan pendidikan inklusif sempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pro Canselor UTP, Tan Sri Sidek Hassan.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, terdapat beberapa risiko dalam mengaplikasikan strategi berkenaan terutama melibatkan tekanan antara misi awam pendidikan serta dorongan keuntungan yang menggerakkan pihak swasta.

Namun begitu, baginda bertitah, adalah perlu untuk mengambil risiko serta mengadaptasi semangat keusahawanan bagi menjalankan tugas reformasi pendidikan mencabar, justeru dapat memenuhi objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pengajian tinggi global yang diiktiraf.