Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin dengan kemampuan ekonomi negara untuk mencapai sasaran itu selain merancang meletakkan Malaysia sebagai 20 negara utama ekonomi dengan penanda arasnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, antara projek pembangunan yang diyakini menyumbang kepada sasaran berke­naan adalah Iskandar Malaysia, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Bandar Malaysia, Lebuh Raya Pan Borneo dan hab minyak dan gas di Pengerang.

“Semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini saya menggariskan bahawa ekonomi Malaysia pada masa ini ialah RM1.3 trilion dan kita menyasarkan untuk mencapai ekonomi bernilai RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

“Saya yakin menerusi pelbagai projek yang dilaksanakan, saya percaya kita mampu untuk mencapainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. (Khaza­nah), Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Pada majlis tersebut, Najib turut melancarkan Laporan 10 Tahun Pembangunan Iskandar Malaysia yang mengandungi perkembangan terkini dan perjalanan koridor ekonomi berkenaan dalam merealisasikan visi sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mapan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan masjid baharu di Bayu Damai, Pengerang dan dana RM2 juta oleh Khazanah untuk peniaga tempatan di Kilang Bateri yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda untuk memperluaskan perniagaan mereka.