Ahmed Razman Abdul Latiff
Ahmed Razman Abdul Latiff

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Putra Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, mereka yang datang melabur di negara ini sudah tentu telah menganalisa pelbagai faktor dan asas ekonomi yang kukuh merupakan faktor terpenting bagi golongan terbabit.

Katanya, jika merujuk kepada prestasi Indeks KLCI Bursa Malaysia yang meningkat dua kali ganda sejak 2008 dan masih lagi tidak mengalami bear market, ini merupakan satu petanda sentimen yang positif dalam kalangan pelabur saham di Malaysia.

“Pencapaian sekarang sudah tentu membanggakan namun pelabur dan bakal pelabur juga sudah pasti tidak mahu membuat keputusan yang tergesa-gesa le­bih-lebih lagi apabila pilihan raya umum bakal diadakan sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Namun kerajaan masih tetap komited dengan memfokuskan kepada isu rakyat seperti rumah mampu milik, kos barangan yang meningkat dan peluang pekerjaan terutamanya kepada belia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian Malaysia seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur (IMKL) Ke-13 baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, kerancakan pelaburan sektor swasta dalam pasaran tempatan merupakan satu daripada faktor penyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara walaupun dalam situasi kelembapan ekonomi dunia.

Katanya, perkembangan itu adalah kesan positif daripada usaha kerajaan menyediakan persekitaran lebih mesra kepada sektor swasta untuk melabur dalam pasaran ekonomi dan menjadi satu daripada penyumbang utama kepada ekonomi negara.