Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, walaupun perniagaan tidak halal seperti aktiviti perjudian, penjualan alkohol dan pusat hiburan itu boleh menyumbang berbilion ringgit, namun tidak semestinya orang Melayu perlu turut sama terlibat hanya untuk me­ningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata, orang Melayu boleh mengangkat martabat ekonomi mereka sekiranya hak isti­mewa orang Me­layu menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan digunakan sepenuhnya.

“Tidak semestinya orang Melayu turut terlibat dalam perniagaan haram dalam Islam itu. Apa yang kita boleh lakukan adalah hak istimewa orang Melayu perlu digunakan sepenuhnya serta agresif membantu eko­nomi bumiputera.

“Hak istimewa orang Melayu memang terjamin dalam Perlembagaan, kita tidak usik dan persoal perniagaan tidak halal oleh masyarakat bukan Islam dan mereka juga jangan cuba pertikai hak kita. Kita tak pertikai mereka, begitu juga mereka patut hormati hak kita,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Baru-baru ini akhbar mela­porkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan lesen pusat judi dan penjualan alkohol diberikan kepada bumiputera agar mampu bersaing dengan kaum lain daripada segi ekonomi.

Menurut Zaid, penjualan produk tidak halal itu memberi pulangan lumayan kepada masyarakat bumiputera.