Sebanyak 112 buah sekolah menyertai cabaran itu yang masuk kali kelima penganjurannya, di mana 83 buah sekolah telah menghantar  laporan yang lengkap.

EEC 2018 dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, plak dan sijil penyertaan.

Bagi kategori video pembentangan paling kreatif dimenangi SMK Agama Kuala Abang, Terengganu,  manakala video paling tular dimenangi SM Islam Hidayah, Johor. Kedua-kedua pemenang menerima hadiah wang tunai RM4,000, plak dan sijil penyertaan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga dan Tenaga Hijau), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Noor Afifah Abdul Razak dan turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk  Ir. Ahmad Fauzi Hasan.

EEC mula diperkenalkan pada tahun 2014 bertujuan menggalakkan pelajar dan warga sekolah menjadikan amalan menjimatkan tenaga elektrik sebagai budaya dàlam kehidupan seharian. - UTUSAN ONLINE