Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan projek mega dan berimpak tinggi tersebut sebagai projek untuk rakyat.

“ECRL adalah projek kereta api rakyat yang dapat mendekatkan mereka yang berada di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor. Orang jauh menjadi lebih dekat.

“Projek ini akan memberi kesan positif dan besar antaranya memudahkan pergerakan serta membangunkan pertumbuhan bandar-bandar baharu seperti Kotasas,” titah baginda ketika menyempurnakan pe­rasmian Ibu pejabat Tanah Makmur Berhad (TMB) dan Galeri Jualan Kotasas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Eksekutif TMB, Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL di Kotasas yang menandakan bermulanya projek mega yang menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di pantai timur.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos kira-kira RM55 bilion.

Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, pembangunan di Kotasas adalah usaha kerajaan negeri bagi memastikan kawasan tersebut menjadi sebuah bandar baharu.

Baginda berharap persekitaran Kotasas menjadi lebih baik pada masa depan dan memberi keselesaan kepada masyarakat yang bakal menduduki bandar baharu Kuantan itu.

“Saya berharap Kotasas menjadi bandar berkualiti dan mempunyai udara segar. Tiada merah-merah ini (merujuk kepada bauksit), kita akan selesaikannya,” titah baginda.