Perdana Menteri berkata, ECRL bakal membuka minda orang luar bandar di wilayah Pantai Timur bahawa era moden telah tiba di kawasan mereka.

“Beberapa bulan lalu, saya telah terlibat dengan program di Bachok, Kelantan dan apabila penduduknya melihat rupa bentuk tren tersebut, mereka tidak dapat bayangkan per­khidmatan rel yang sebegitu moden dan canggih ini berada di wilayah mereka.

“Apabila saya tengok reaksi mereka ini, saya melihat projek ini bukan sahaja sebagai game changer tetapi juga mindset changer yang mana ia membuka minda orang luar bandar di Pantai Timur bahawa era moden telah tiba bagi rantau mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pe­rasmian Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) telah dipersetujui dan upacara pertukaran dokumen telah dilakukan.

MoU antara Malaysia Rail Link (MRL) dengan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) serta institusi pengajian tinggi awam tempatan adalah untuk merealisasikan kerjasama industri dan pihak akademik untuk Program Latihan Kemahiran Industri ECRL.

Ia bertujuan menyediakan serta meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri kereta api.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan ber­kata, berdasarkan kajian pi­haknya, sebanyak 95 peratus responden menyokong pelaksanaan projek tersebut sekali gus menunjukkan ia mendapat sokongan dan dorongan daripada rakyat.

Dalam pada itu, beliau menambah, Program Latihan Industri Projek ECRL Negaraku merupakan keberhasilan usaha kerajaan membawa pemba­ngunan setara ke wilayah Pantai Timur.

Menurutnya, sebanyak 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada meme­nuhi keperluan kerja dalam bidang rel dan kereta api ECRL.

“Moga program latihan ini memberi isyarat yang jelas bahawa projek ini mendatangkan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia di samping mengeratkan hubungan bilate­ral kita dengan China,” katanya.