Beliau mengakui bahawa sebagai kerajaan baharu, terdapat menteri-menteri yang mengeluarkan kenyataan berbeza dalam perkara tersebut.

“Kita akan baiki kesilapan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir meminta semua pihak menunggu kenyataan daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung status projek ECRL sama ada ia diteruskan atau sebaliknya.

Status projek itu telah mengundang kekeliruan dalam kalangan banyak pihak apabila Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenya­taan bercanggah.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan terpaksa menanggung hutang yang lebih besar dalam tempoh 30 tahun akan datang berban­ding jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor sekiranya projek ECRL diteruskan.

Menurut beliau, kos pelaksanaan projek ECRL mungkin melebihi RM100 bilion dan ia membebankan kerajaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Kita bukan tidak mahu anugerahkan kontrak tetapi tak mampu bayar sebab kos projek mungkin melebihi RM100 bilion. Ini menjadikan kita miskin.

“Kita memahami semua parti (pihak) terlibat, kita bukan mahu membatalkan kontrak tetapi kita berdepan kekangan kewangan,” katanya.