Dengan laluan sepanjang 688 kilometer (km), ECRL bukan sekadar untuk mengangkut penum­pang dan kargo, lebih daripada itu, ia dilihat sebagai satu lagi pencetus perubahan kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekali gus bakal mengubah landskap sosioekonomi di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bandar-bandar kecil di ketiga-tiga negeri tersebut yang akan dibina stesen ECRL, bakal menjadi tumpuan pembangunan pesat sekali gus meningkatkan taraf hidup khususnya penduduk di luar bandar.

Malah sejak beberapa bulan lalu, pemaju-pemaju hartanah dilihat mula beralih arah ke Pantai Timur kerana menyedari potensi peningkatan nilai hartanah di situ terutama yang berdekatan dengan jajaran ECRL.

Jika selama ini ramai generasi muda dari pantai Timur berhij­rah mencari pekerjaan ke kota besar khususnya di Kuala Lumpur, namun kehadiran ECRL bakal mengubah senario itu ke­rana banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan.

ECRL sebagai laluan perdaga­ngan yang cepat juga akan menggalakkan pertumbuhan industri baharu selain meningkatkan produktiviti Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Pantai Timur.

Selain itu, dengan adanya kemudahan pengangkutan yang efisien, sektor pelancongan tempatan juga dapat ditingkatkan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peduduk setempat.

ECRL akan menjadi pemang­kin pertumbuhan ekonomi baharu serta memberi impak yang positif kepada masyarakat di negeri-negeri Pantai Timur dan dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.5 peratus.

Dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2024, ECRL merupakan antara projek kejuruteraan dan pembinaan paling mencabar di Malaysia.

Hal ini kerana sejumlah besar kawasan yang terlibat untuk pembinaan jajaran itu tidak rata selain perlu berdepan bentuk muka bumi yang berbukit bukau serta hutan tebal di Banjaran Titiwangsa.

Sebanyak 44 terowong de­ngan keseluruhan jarak meliputi 39.1 kilometer (km) akan dibina di sepanjang jajaran ECRL.

Ia termasuk terowong ber­kembar sepanjang 16.3 km dari Bentong ke Gombak yang bakal diiktiraf sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara.

Sebanyak 147 jambatan akan turut dibina melibatkan jarak keseluruhan 128 km dengan yang terpanjang iaitu 10.4 km terletak di Kota Bharu, Kelantan.

ECRL juga dibina pada landasan yang ditinggikan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak kawasan banjir.

Selain itu, ECRL turut me­ngambil kira pandangan dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai impak projek tersebut kepada alam sekitar.

Melalui kerjasama dengan kedua-dua jabatan itu, sebanyak 90 peratus daripada 2,000 hektar hutan simpan yang terlibat dalam rancangan asal, dapat di­selamatkan dengan pengubahsuaian jajaran dan pembinaan terowong.

Lintasan untuk hidupan liar akan dibina di 29 lokasi strategik supaya hidupan liar dapat dilin­dungi dan bergerak bebas.

Jawatankuasa Pengurusan Hi­dupan Liar juga diwujudkan bagi memantau dan meminimumkan impak projek ECRL kepada hidupan liar dan habitatnya.

Menurut laporan daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) yang merupakan pemilik projek dan aset ECRL, keseluruhan proses pembinaan yang bermula sejak Oktober tahun lalu telah mencapai tahap 13 peratus dan bergerak lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Ia melibatkan kerja-kerja per­mulaan seperti ujian tanah, pembinaan kem induk dan kem satelit serta laluan masuk ke kawasan pembinaan.

Kerja-kerja membina jambatan sementara dan gerbang terowong di beberapa kawasan juga sedang giat dijalankan.

Walaupun kontraktor utama adalah syarikat antarabangsa iaitu China Communications Construction Company Ltd (CCCC), namun projek itu hanya melibatkan 30 peratus pekerja-pekerja dari China dan negara asing lain.

Selebihnya akan menggunakan tenaga kerja tempatan yang akan dilahirkan melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL).

PLKI-ECRL merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) CCCC dengan tajaan sebanyak RM23 juta bagi melahirkan pekerja tempatan yang berkemahiran dalam projek ECRL.

Kerja-kerja awam seperti ker­ja-kerja tanah, substruktur, pembinaan stesen, saliran, pe­nempatan semula kemudahan awam, perkhidmatan mekanikal dan elektrik juga akan diberikan oleh CCCC kepada subkontraktor-subkontraktor tempatan.

Ini sebagaimana rundingan antara kerajaan Malaysia dan China iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus kerja-kerja intrastruktur, tidak termasuk tero­wong, akan dijalankan oleh kontraktor Malaysia.

Inisiatif kerajaan melaksanakan ECRL merupakan rahmat besar kepada rakyat terutama di negeri-negeri Pantai Timur kera­na dalam beberapa tahun akan datang, projek itu akan mendatangkan limpahan ekonomi yang sangat besar kepada wilayah itu.

Tidak lama lagi, pembangunan di Pantai Timur akan dilihat bergerak seiring dengan Pantai Barat sekali gus merealisasikan agenda kerajaan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.